KEMPEN BOIKOT ZIONIS


| View Show | Create Your Own

Tuesday, March 6, 2007,8:59 AM
Meninjau pemikiran Abu Hassan Ali al-Nadwi

Al-Nadwi merupakan seorang pemikir Islam yang ulung. Beliau dilahirkan pada Muharram 1332 (1914M) di Rai Breily, India dan meninggal dunia dalam usia 85 tahun pada 23 Ramadhan 1420H bersamaan 31 Disember 1999M di daerah kelahirannya juga. Beliau telah menghasilkan lebih 60 buah buku dalam pelbagai ilmu Islam terutama dalam bidang pemikiran. Pemikirannya sebaris dengan tokoh reformis abad ini seperti Abduh, al-Afghani, Rashid Rida dan Shakib Arsalan. Sejak muda lagi, beliau mula bergiat dalam bidang dakwah. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang sukar diganti malahan dirasakan oleh semua lapisan masyarakat. Salah satu aspek yang sering disuarakannya ialah proses pembaratan di dunia Islam (westernisasi) dan materialisme yang merupakan “agama” di Barat.

Dalam bukunya al-Sira’ Bayn al-Fikrah al-Islamiyyah wa al-Fikrah al-Gharbiah al-Nadwi menyebutkan aspek pengaruh barat. Antara pengaruh barat yang meluas dalam negara Islam ialah aspek pendidikan. Menurut al-Nadwi, umat Islam perlu membebaskan dari sistem pendidikan sekular atau mengambil sistem pendidikan barat secara total. Menurutnya sistem pengajian barat merupakan suatu usaha mendalam untuk melenyap dan membasmi unsur-unsur keislaman. Beliau merujuk kepada kata-kata H.A.R Gibb dalam buku Whither Islam yang menyebutkan bahawa berjaya atau tidak modernisasi dan westernisasi di dunia Islam dapat dilihat dari aspek pendidikan barat dan pengaruhnya yang meluas di kalangan orang-orang timur. Beliau memuji Iqbal kerana walaupun mendapat pendidikan barat tetapi beliau tidak lebur dalam arus pendidikan pemikiran barat. Menurutnya, antara teori yang digunakan dalam sistem pendidikan barat ialah menimbulkan keraguan dan syak kepada kesucian riwayat dan dalil. Oleh itu jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini ialah merangka semula sistem pendidikan Islam walaupun menghadapi kesulitan dan waktu yang panjang.

Al-Nadwi juga begitu peka dengan sistem pendidikan dan banyak mengkritik golongan oerientalis yang menyelewengkan fakta sebenar mengenai Islam. Dari segi faktor keagamaan, tujuan orientalis adalah menyebarkan agama Kristian dan menonjolkannya lebih daripada agama Islam. Di samping itu, mereka cuba membangkitkan rasa bangga terhadap mereka ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Dari segi politik, golongan orientalis adalah utusan barat ke negara-negara Islam dengan tujuan membuat penyelidikan yang berhubung dengan adat, bahasa, tabiat dan jiwa orang-orang timur. Melalui cara ini, barat dapat meluaskan kekuasaan dan pengaruhnya ke atas umat Islam. Walaupun begitu, ada juga golongan orientalis yang membuat penyelidikan semata-mata kerana rasa minat mereka terhadap ilmu. Menurut al-Nadwi, antara orientalis yang menghasilkan penyelidikan yang baik yang wajar diberi penghargaan ialah Prof. T.W. Arnold, pengarang buku Preaching of Islam, Stanley Lane pengarang buku Saladin (Salahuddin al-Ayubi) dan Moors in Spains, Dr. Aloys Spenger Edward William Lane, A.W.J- Wensinck, yang telah menyusun Mu‘ajam Hadith. Semua pengarang-pengarang ini menunjukkan keikhlasan mereka dalam membahaskan sesuatu isu tanpa dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi dan agama.

Al-Nadwi telah memberi kritikan pedas terhadap golongan orientalis yang seharusnya direnung oleh pelajar-pelajar muslim yang lain. Beliau menyebut bahawa dengan mengakui sumbangan ilmu orientalis ini, tiada halangan baginya untuk menegaskan bahawa kaum orientalis ini sering tidak beroleh taufik dari Ilahi walaupun mereka banyak melakukan penyelidikan dan penggalian terhadap ilmu-ilmu al-Qur’an, sunnah, sirah nabi, feqah Islam, akhlak dan tasauf. Mereka hanya keluar dengan tangan hampa tanpa memperolehi apa-apa dari keimanan dan keyakinan. Sebaliknya didapati bertambah besar jurang yang memisahkan mereka dengan ilmu tersebut disebabkan oleh iktikad permusuhan yang terpendam dalam hati mereka. Tujuan mereka hanya ingin mencari kelemahan tentang Islam dan mengemukakannya untuk maksud politik mahupun keagamaan.

Menurut al-Nadwi, umat Islam sekarang menghadapi kejumudan pemikiran atau mendapnya kecerdasan akal yang menimpa sarjana Islam atau pusat-pusat pengajian Islam semenjak waktu yang lama. Begitu juga, jarang ditemui ulama yang dapat meyakinkan generasi muda mengenai keunggulan Islam dan keabdian ajaran agama untuk mereka melayari kehidupan serta menyingkap takbir kelemahan-kelemahan peradaban barat dan sorotan yang ilmiah dan analisa yang teliti.

Umat Islam juga menghadapi kekosongan yang besar iaitu tidak ada pemimpin yang dapat menghadapi peradaban barat dengan keimanan dan berani. Ciri-ciri pemimpin ini ialah mereka yang menggabungkan keimanan dengan kemajuan keilmuan untuk manfaat umat dan negara. Mereka tidak memandang pemimpin barat sebagai idola yang mesti diikuti tetapi hanya mengambil contoh yang baik. Ia menaruh harapan dan keyakinan bahawa seandainya ia perlu banyak belajar dari barat maka barat juga perlu banyak belajar darinya. Malah berkemungkinan barat lebih memerlukannya. Menurutnya, usaha pembaratan berlaku dengan cepat dan berjaya kerana pendidikan barat telah menyerap masuk ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Taufan sistem pendidikan barat ini telah menyapu bersih generasi muda Islam yang menjadi harapan bangsa sehingga pemikiran mereka tidak dapat menerima agama Islam yang sebenar.

Antara buku beliau yang terkenal ialah Riddah La Abu Bakr Laha (murtad: mengapa tidak ada Abu Bakar memeranginya). Di dalam buku ini, beliau menyebutkan bahawa umat Islam kini menghadapi ancaman murtad yang lebih merbahaya iaitu fahaman metarialisme (kebendaan) yang datang dari pengaruh barat. Menurutnya, metarialisme merupakan fahaman yang berdasarkan penolakan kepada agama dan pemikiran yang menafikan adanya Tuhan, alam ghaib, wahyu dan kerasulan. Sungguhpun penganjur-penganjur falsafah kebendaan ini tidak menganggapnya sebagai satu agama yang baru, namun pada hakikatnya falsafah ini adalah sejenis agama yang baru. Fahaman baru ini sedang melanda dunia Islam tanpa disedari oleh kita sendiri. Al-Nadwi menjelaskan bahawa tamadun kebendaan yang menafikan ketuhanan merupakan dajjal yang membawa kerosakan ke atas dunia ini. Tamadun yang dilahirkan pada abad 17 dan mulai mencapai peringkat kematangan dalam abad ini. Tamadun kebendaan ini meletakkan kebendaan dan pemiliknya sebagai suci dan mengagungkan kebendaan dari segala-galanya.

Beliau turut menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan fahaman ini dapat menawan jiwa orang-orang Islam.Antaranya ialah pertamanya kelemahan orang Islam dari sudut keimanan, ijtihad dan ilmu pengetahuan. Fikiran menjadi sempit dan keghairahan terhadap agama mereka telah lenyap sama sekali. Keduanya para ulama tidak memainkan peranan yang sebenar dan tidak pula berusaha untuk memimpin orang Islam lain terutama anak-anak muda Islam. Ketiganya penjajahan yang berlaku ke atas negara-negara umat Islam. Orang-orang Islam mengkagumi falsafah barat yang dianggap mengandungi kebenaran dan kemajuan.

Inilah di antara faktor yang menyebabkan fahaman ini meresap dengan cepat ke dalam jiwa orang-orang Islam. Tambahan pula, ulama tidak menyedari akan bahaya fahaman ini. Al-Nadwi melihat fahaman ini sebagai satu ancaman yang besar kepada umat Islam. Akhirnya, kebanyakan pemimpin negara Islam adalah hasil daripada pendidikan barat. Inilah sebab utama berlakunya pertarungan antara dua alam pemikiran yang berlaku di dunia Islam menyebabkan negara Islam terumbang-ambing.

Dalam menghadapi cabaran idealisme tersebut umat Islam perlu kembali melihat keadaan dan hakikatnya yang sebenar, memperbaiki dan membetulkan nilai-nilai agama dalam diri sendiri dan masyarakat, merombak sistem ekonomi dengan menghapuskan riba serta melaksanakan sistem zakat dan baitulmal. Ia bertujuan untuk memperseimbangkan taraf umat muslimin serta menghapuskan kemiskinan, menekankan kemajuan sains dan ilmu pengetahuan agar dapat mendekatkan pertaliannya dengan agama serta menubuhkan persatuan umat Islam di peringkat antarabangsa. Al-Nadwi menegaskan bahawa dalam menjalankan dakwah Islam, para pendakwah harus mengamalkan beberapa sikap iaitu:

Pertamanya seseorang itu mestilah mempunyai perasaan cinta dan keikhlasan iman kepada Allah tanpa sebarang keinginan untuk memperolehi sebarang faedah kebendaan dan keuntungan lain sebagai penghargaan.

Keduanya ia hendaklah meneguhkan amalan Amru bil makruf dengan cara mengajak manusia supaya melakukan perkara kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. Ketiganya ia hendaklah menjadi contoh atau model seorang muslim sejati kepada muslim yang lain. Keempat ia hendaklah berbangga menjadi seorang muslim dan apa yang diserunya. Jika ia mempunyai nilai pemikiran seumpama itu, maka tidak diragukan lagi bahawa dia akan berjaya di dalam perjuangan yang suci ini.

Al-Nadwi berpendapat bahawa jalan yang paling selamat dalam mendidik umat Islam ialah kembali beriman kepada Alllah sebagaimana Rasulullah dahulu telah melaksanakannya dengan begitu berkesan. Kemungkaran dan kerosakan adalah berpunca dari keengganan manusia untuk kembali kepada penawar dan rawatan nubuwwah. Hanya dengan kembali kepada bentuk didikan di atas sahajalah manusia masa kini dapat diselamatkan sebagaimana manusia pada zaman dahulu diselamatkan oleh Rasulullah. Oleh itu, beliau menyarankan umat Islam kembali kepada acuan madrasah kerasulan.

Dalam menghadapi pengaruh barat di dunia Islam al-Nadwi mengakui peranan yang dimainkan oleh tokoh Jemaah al-Islamiyyah Pakistan Abu Ala al-Maududi dan pemimpin Ikhwan al-Muslimun di Mesir dalam mengkritik pemikiran barat dan menyorot kelemahan-kelemahannya dari segi ilmiah dan agama.

Al-Nadwi menjelaskan kegagalan agama Kristian dalam membendung arus kebendaan di barat. Beliau menyebut bahawa agama Kristian telah kehilangan pengaruhnya ke atas dunia barat dan kekosongan itu diambil alih oleh faham kebendaan semata-mata, namun agama Kristian gagal mengetengahkan seorangpun yang dapat menentang kekejian faham kebendaan, membimbing dunia barat kembali kepada asas-asas agama sebenar, memulihkan keyakinan terhadap agama Kristian yang asli dan mempertahankan nilai-nilai akhlak daripada fahaman kebendaan dan norma-norma pemuasan hawa nafsu yang wujud dalam budaya sekarang. Dunia barat telah gagal menghadapi cabaran-cabaran moden dan gagal menemui penyelesaian terhadap masalah-masalah semasa melalui pandangan agama terhadap kehidupan dunia ini. Sebaliknya barat telah berputus asa dengan agama Kristian sama sekali. Barat telah gagal dalam pembinaan insan walaupun mereka berjaya dalam teknologi kini sehingga mampu terbang di udara seperti burung dan berenang seperti ikan di dalam lautan. Tetapi mereka gagal bagaimana hendak berjalan di atas dunia ini. Perkara ini disebabkan akal dan jiwa mereka kosong daripada kerohanian. Mereka muflis dalam pembinaan dalaman diri. Secara ringkasnya, al-Nadwi memainkan peranan penting dalam menangkis salah faham pemikiran barat terhadap Islam dan menyarankan umat Islam tidak merasa naif berhadapan dengan barat. Beliau menyebutkan kemunduran umat Islam bukan sahaja merugikan umat Islam sendiri tetapi dunia keseluruhannya.

Penulis tertarik dengan kata-katanya dalam buku Tarshid al-Sahwah al-Islamiyyah iaitu: “Adalah menjadi bagi kewajipan kita untuk menyemarakkan perasaan kepentingan jihad mengikut perspektif al-Quran. Sesungguhnya revolusi Iman yang membezakan umat ini dengan umat yang lain yang telah melahirkan tokoh dan pejuang sepanjang zaman. Pengabaian umat terhadap kepentingan jihad dan revolusi ini merupakan satu kerugian yang besar, kekosongan yang tidak dapat diganti dengan keluasan ilmu dan ketinggian akal dan tamadun.”
 
posted by Abdul Hakim Mat
Permalink ¤